Khamis, 5 Jun 2008

Anak Ayam Hutan

Dalam sekumpulan ayam hutan, terdapat seekor ayam jantan yang telah diangkat oleh kumpulannya sebagai ketua. Kebijaksanaan dan keberanian ayam jantan ini bersuara menyebabkan binatang-binatang dalam Hutan O sangat menghormati kumpulan ayam hutan.

Setelah beberapa lama menjadi ketua kepada kumpulan ayam hutan, banyaklah pembaharuan yang telah dilakukan oleh ayam jantan ini untuk kumpulannya.

Tetapi hanya satu sahaja yang sangat membimbangkan ketua ayam jantan ini ialah cara berfikir kumpulan ayam hutan yang tidak dianggap cerdik.

Sebagai seorang ketua kepada kumpulan ayam hutan, dia sangat berasa malu. Mulai saat itu dia mula berfikir cara-cara untuk meningkatkan kecerdikan kumpulannya.

Setelah berfikir semasak-masaknya, ketua ayam hutan itu telah mengambil contoh sebab-sebab kecerdikan lembu adalah kerana cara binatang itu berbahasa.

Oleh itu, ketua ayam hutan itu telah mengambil keputusan bahawa untuk menjadi binatang yang cerdik, kumpulan ayam jantan mestilah berbahasa seperti bahasa lembu.

Sebagai ketua yang dihormati, ayam jantan telah menyuruh seluruh kumpulan ayam hutan menggunakan bahasa lembu, jika mereka ingin dianggap cerdik.

Maka mulai saat itu, seluruh ayam hutan pun mulai belajar bahasa lembu kerana ingin dianggap cerdik dan takut dianggap bodoh. Sejak itu sibuklah ayam-ayam hutan menghantar anak-anak mereka yang baru menetas ke kelas-kelas bahasa lembu. Sewaktu di rumah pula puaslah mereka berbahasa lembu.

Setelah beberapa purnama, kumpulan ayam hutan belajar berbahasa lembu, maka mahirlah mereka menggunakan bahasa lembu. Dan sedikit-demi sedikit bahasa ayam hutan dilupai oleh kumpulan ayam hutan.

Pada suatu hari, seekor anak ayam hutan yang baru berusia 30 hari telah tersesat ke kawasan kumpulan lembu. Namun, anak ayam hutan ini berasai selamat kerana dia tahu berbahasa lembu.

Maka anak ayam hutan itu pun pergilah menghampiri seekor lembu yang agak tua dalam kalangan lembu-lembu tersebut. Lalui dengan perasaan bangga dan yakin, anak ayam hutan tersebut pun menggunakan bahasa lembu untuk bertanyakan kalau-kalau ada terlihat kelibat sekumpulan ayam hutan sedang mencari makan.

“Oh, kau tersesat jalan rupanya anak ayam hutan,” balas lembu yang agak tua itu dan sambil menyambungnya, “Tak mengapa, kau belum tertinggal jauh lagi. Kumpulan ayam hutan tadi baru saya lihat berlalu ke arah selatan hutan ini,” beritahu lembu yang agak tua tersebut.

“Terima kasih wahai sang lembu,” balas anak ayam hutan. Tetapi dalam waktu yang sama, anak ayam jantan itu telah melihat lembu yang agak tua itu tersenyum panjang.

Oleh sebab berasa ingin tahu, anak ayam hutan pun bertanya kepada lembu yang agak tua itu sebab dia tersenyum, kerana di dalam hati anak ayam hutan itu berasa bahawa lembu yang agak tua itu bangga dan teruja dengan kebolehan dia berbahasa lembu, maklumlah pada waktu itu bahasa lembu sangat digemari.

Dengan lembut dan sopan, lembu yang agak tua itu pun menjawab, “Tidak ada apa-apa anak ayam hutan, cuma saya berasa janggal bila kau berbahasa lembu sedang kau telah mempunyai bahasa sendiri, semestinya kau menggunakan bahasa kau, bukan bahasa kami, kerana kau tidak akan menjadi seperti kami walaupun kau sangat fasih berbahasa lembu.”

“Sebenarnya yang menyebabkan kami dianggap binatang cerdik buat waktu ini bukanlah kerana bahasa kami tetapi kerana sikap kami. Begitu jugalah kau, jika ingin dilihat cerdik mestilah mengubah sikap bukannya bahasa,” jawab lembu yang agak tua itu lagi.

Setelah mendengar jawapan daripada lembu tersebut, anak ayam hutan itu pun berlalu dengan segera.

Rupa-rupanya cerita pertemuan dan anak ayam hutan dan lembu yang agak tua itu telah tersebar luas dalam kalangan kumpulan ayam hutan.

Cerita-cerita perbualan antara anak ayam hutan dan lembu yang agak tua itu pun juga sampai kepada ketua ayam jantan. Apabila mendengar cerita-cerita itu, dia pun bertambah gelisah kerana takut dan bimbang kalau-kalau dia tidak lagi dipandang cerdik oleh kumpulan tentang saranan supaya kumpulan ayam hutan menggunakan bahasa lembu jika ingin menjadi cerdik.

Supaya cerita tentang pertemuan anak ayam hutan dan lembu yang agak tua itu tidak tersebar luas lagi, dia telah memanggil anak anak hutan berjumpa dengannya.

Namun begitu, anak ayam hutan itu tidak sempat berjumpa dengan ketuanya apabila dia dikhabarkan telah ditembak oleh seorang pemburu sewaktu dalam perjalanan untuk bertemu dengan ketuanya.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Abang ni hebat juga ye dalam kritik, haha.